Bab 01 · 12
Sehelai T-shirt yang membuka jalan

Sebelum ada dewan yang dipenuhi manusia, ada sehelai T-shirt yang sangat sederhana.
Inilah T-shirt pertama ZonKuliah. Dua belas tahun lalu, teknologi percetakan yang cantik dan tahan lama belum semudah hari ini untuk kami capai. Teknologi sublimasi belum menjadi pilihan biasa dalam lingkungan kami. Jadi logo ZonKuliah dibuat menggunakan patch.
Kami sudah cari solusi yang paling mahal dan paling baik dalam kemampuan ketika itu. Terus terang, hasil akhirnya tetap kurang memuaskan. Patch itu tidak secantik yang kami bayangkan. Rekaan pun jauh lebih sederhana daripada apa yang boleh dibuat hari ini.
Tetapi kami tetap keluarkan juga. Sebab kadang-kadang kita perlu bermula dengan hasil yang belum sempurna, selagi kita tidak buat sambil lewa. Kami sudah cuba sebaik mungkin menggunakan apa yang ada. Dan rupa-rupanya, orang ramai tidak hanya melihat pada cantik atau tidak sebuah baju. Mereka nampak apa yang kami sedang cuba bina di belakangnya.













